BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, February 28, 2010

TANGGUNGJAWAB MUSLIM

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang melihat kemungkaran hendaklah diubah dengan tangannya, jika tidak berupaya hendaklah diubah dengan lisannya, dan jika tidak berupaya juga hendaklah diubah dengan hatinya dan yang sedemikian itu selemah-lemah iman.” (Hadis riwayat Muslim)
Berdakwah bukan bermaksud hendak menjaga tepi kain orang atau masuk campur urusan orang lain, sebaliknya tindakan itu adalah satu tuntutan agama. Perbuatan itu bertujuan mengelak keburukan daripada terus berlaku yang memberi kesan kepada keseluruhan masyarakat.
Dakwah bererti menyeru atau mengajak kepada sesuatu serta menggalakkan manusia berbuat kebaikan, mengikut petunjuk, menyeru melakukan kebajikan serta mencegah membuat kemungkaran.
Setiap individu memang berhak mendapat kebebasan melakukan apa diingini tetapi tidak termasuk perbuatan yang menyalahi hukum agama dan undang-undang negara. Sebab itu, perlu ada pihak yang bertindak mencegah perbuatan daripada dilakukan.
Sikap tidak apa dan peduli apa yang orang lain lakukan menyebabkan perkara buruk berlaku secara berleluasa sehingga dianggap satu kebiasaan yang tidak lagi dikisahkan, melainkan berlaku terhadap diri sendiri
Sikap tidak ambil kisah terhadap kemungkaran yang dilihat atau diketahui perlu diubah. Sikap inilah menyebabkan kemungkaran sukar dibendung. Pelaku perbuatan mungkar tidak takut melakukannya secara terang-terang kerana tahu apa yang dilakukan itu tidak dipedulikan oleh orang ramai.

0 comments: